Bawang Putih BawangMerah

Sejak ketiadaan ayah dan ibu kandungnya,Bawang Putih tinggal bersama ibu tirinya, Mak Kundur dan adik tirinya Bawang Merah.Mereka sangat benci akan Bawang Putih.Dia sering dimarahi dan dipukul.

Pada suatu malam,Bawang Putih bermimpi bertemu ibunya.Ibunya menyuruhnya masuk ke hutan dan mencari pohon beringin rendang.”Pergilah hiburkan hatimu dan bersabarlah,suatu hari nanti kau akan mendapat kebahagiaan.” Keesokan harinya,Bawang Putih segera menyiapkan kerja-kerja rumah.Setelah ibu tirinya pergi bekerja dan adik tirinya masih tidur,Bawang Putih pun masuk ke hutan.Dia mencari pohon beringin rendang itu.

Setelah puas mencari,dia pun sampai ke situ.Dia terpandan sebuah buaian yang tergantun di pohon beringin.Tempat tersebut seakan-akan sebuah taman tempat puteri kayangan turun ke bumi untuk bermain-main. Ketika dia duduk di atas buaian itu,tiba-tiba buaian itu berayun dengan sendiri.Semakin lama semakin laju.Dia dapat melihat bunga-bunga yang mengelilingi pohon beringin itu turut bergoyang-goyang.Hatinya terasa sungguh terhibur.

Tiba-tiba Bawang Putih teringatkan Mak Kundur.Ibu tirinya pasti akan memarihanya bila pulang dan mendapati dirinya tiada di rumah.Namun Bawang Putih tidak tahu bagaimana hendak memberhntikan buaian itu.Bawang putih lalu berkata kepada buaian itu,”Wahai buaian,tolonglah berhenti,akuingin pulang ke rumah.”Tiba-tiba buaian itu pun berhenti dengan sendirina.Pokok-pokok bunga juga turut berhenti bergoyang.

Pada sutu hari Bawang Putih bermaian buaian seperti biasa.Tanpa disedarinya seorng putera raja sedang memerhatinya.Baginda tertarik melihat bagaimana buaian itu boleh berayun sendiri bila Bawang Putih menaikinya.

Ketika Bawang Putih hendak pulang baginda menyuruh penirinya mengekorinya.Setelah tahu di mana Bawang Puth tinggal,baginda pergi ke rumah tersebut,Ketika itu Mak Kundur dan Bawang Merah berada di halaman rumah.”Di manakah anak makcik yang seorang lagi?”Tanya baginda.Mak Kundur menyangka baginda adalah orang kaya.”Makcik mana ada anak yang lain.Bawang Merah inilah satu-satunya anak makcik,” kata Mak Kundur.

Baginda menceritakan tentang gadis yang dilihatnya bermain buain di hutan.”Bawang Merah inilah yang bermain buaian itu,”bohong Mak Kundur.Setelah beredar,Mak Kundur memaksa Bawang Putih menunjukkan tempat buaian itu. Mak Kundur membawa Bawang Merah bermaian buaian itu.Namun buaian itu tidak berayun dengan sendiri.Putera raja mengintainya dari sebalik pokok.Baginda menyuruh pengiringnya ke rumah Mak Kundur dan membawa Bawang Putih ke situ.Pengiringnya pun pergi tetapi mendapati Bawang Putih dikurung dan diikat.Maka dia segera membuka ikatan itu dan membawa gadis itu bertemu dengan baginda.Mak Kundur terkejut melihat kehadiran bainda dan Bawang Putih.

Bila Bawang Putih berbuai dan menyanyi,buaian itupun berayun laju.”Makcik telah berbohong kepada beta!” kata putera raja.Ketika itu barulah Mak Kundur tahu bahawa lelaki itu adalah putera raja.”Kamu ibu yang zalim.Kamu telah menyeksa Bawan Putih!” kata baginda lagi.Mak Kundur menangis dan meminta ampun kepada baginda.Bawaqng Merah pula meraung dan menanis kerana dewngkikan Bawang Putih.Bawang Putih yan baik hati meminta utera raja mengampunkan Mak Kundur dan Bawang Merah.Baginda kagum dengan sifat kemuliaan Bawang Putih.Putera raja akhirnya mengahwini Bawang Putih.




Pak Kaduk

Sebermula, maka adalah sebuah negeri bernama Cempaka Seri, rajanya bernama Indera Sari. Maka baginda itu cukup lengkap seperti adap istiadat kerajaan yang lain-lain juga, akan tetapi ada pun tabiat baginda itu terlalulah suka menyombong dan berjudi, sehingga menjadi suatu amalan pada baginda itu. Dengan hal yang demikian, habislah sekalian rakyat seisi negeri itu menjadi asyik leka dengan berjudi juga pada setiap masa tiada sekali-kali mengambil bena kepada mendirikan syariat Nabi Sallallahu alaihi wasalam kerana raja-raja dan orang besar-besarnya terlalu amat suka mengerjakan pekerjaan maksiat itu.

Maka adalah pula seorang tua sedang pertengahan umur namanya Pak Kadok, tinggal ditepi sungai ujung negeri itu juga. Ada pun akan Pak Kadok ini terlalu dungu serta dengan tololnya. Maka adalah kepada suatu hari Pak Kadok berkata kepada isterinya, aku ini mak Siti ingin pula rasanya hendak pergi menyambung kegelanggang baginda itu kerana terlalulah suka pula aku melihatkan orang menyambung beramai-ramai di situ. Mari kita sambung ayam biring Si Kunani kita itu, kerana ayam itu pada petuanya terlalu bertuah. Boleh kita taruhkan kampung kita kepada baginda. Kalau menang kita tentulah kita mendapat duit baginda itu.

Maka ujar isteri Pak Kadok, jikalau begitu baiklah, pergilah awak menyambung, bawa ayam kita itu. Maka sahut Pak Kadok, jahitkanlah baju dan seluar aku dahulu dari kertas yang baru kubeli ini. Lekaslah menjahitnya. Maka kata isterinya, bagaimana awak hendak membuatkan baju dan seluar ini. Jikalau dipakai kelak tentulah carik bertelanjang tengah gelanggang sambungan itu. Bukankah awak malu besar? Ujar Pak Kadok, tiada mengapa. Buatkan juga lekas-lekas aku hendak pergi.

Setelah itu isteri Pak Kadok pun segeralah mengambil gunting lalu mengguntingkan seluar dan baju itu dengan tiada berdaya lagi. Maka kata Pak Kadok, usahlah di jahit, pelekat sahajalah supaya cepat.
Serta lepas digunting oleh isterinya itu dengan sesungguhnya dilekatlah olehnya.
Apabila sudah, lalu diberikan kepada Pak Kadok, maka ia pun segeralah memakai pakaiannya sedondon iaitu berbunga tanjung, merah, kuning, hitam dan putih, terlalu hebat rupanya, tambahan pula berkena tengkolok helang menyongsong angin. Apatah lagi tampaknya.

Pak Kadok seperti juara yang maha faham pada sambung menyambung. Setelah sudah bersedia sekaliannya, Pak Kadok pun lalu turun menangkap ayamnya biring Si Kunani itu, serta dengan tabung tajinya, lalu berjalan menuju kegelanggang baginda itu. Selang tiada berapa lamanya, ia pun sampailah ketengah medan menyambung itu. Sehingga setelah dilihat oleh baginda akan Pak Kadok datang itu, maka dikenallah oleh baginda seraya bertitah, Hai Pak Kadok, apa khabar? Menyambungkah kita? Maka sembah Pak Kadok pun segeralah menyembahkan ayamnya itu lalu disambutkan oleh baginda serta diamat-amati.

Diketahuilah oleh baginda tersangat bertuah ayam Pak Kadok itu. Maka titah baginda, Hai Pak Kadok, mari kita bertukar ayam. Ambillah ayam beta ini, elok, cuba lihat romannya jalak putih mata, dan ayam Pak Kadok biring Si Kunani sahaja tiada berapa tuahnya.

Setelah didengar oleh Pak Kadok akan titah baginda menggula dirinya itu, percayalah ia. Maka sembahnya Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, jikalau sudah dengan titah duli yang maha mulia, relalah patik, seperti titah itu sedia terjunjung di atas jemala ubun-ubun patik.

Pada akhirnya lalu bertukarlah keduanya akan ayam masing-masing. Maka sangatlah sukacita baginda beroleh ayam Pak Padok itu. Maka baginda pun bertitah kepada juara-juaranya menyuruh bulang ayam itu. Maka Tok Juara tua pun lalulah membulang balung ayam biring Si Kunani yang bertukar dengan pak Kadok itu mengenakan taji bentok alang serta dengan berbagai-bagai isyarat dan petuanya. Maka Pak Kadok pun segeralah membulang ayamnya bertukar dengan baginda itu, iaitu tuntung tajinya dihalakan kehadapan dan putingnya kebelakang. Maka titah baginda, Hai Pak Kadok, apakah taruhnya kita menyambung ayam ini? Soronglah dahulu supaya beta lihat. Maka sembah Pak Kadok, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, patek ini tiada harta apa harta yang ada, hanya kampong sebuah itu sahaja. Jikalau ada ampun dan kurnia kebawah dulu Tuanku, kampong itulah patik gadaikan kebawah duli Tuanku menjadi tanggungan memohonkan berhutang kadar lima puluh rial. Maka titah baginda, baiklah.

Lalu dikurniakan oleh baginda wang yang sebanyak permintaan Pak Kadok itu kepada dengan memegang gadaian kampung itu. Telah sudah, baginda pun menyorongkan taruhnya lima puluh rial juga, jumlahnya seratus rial. Maka serta sudah, baginda pun mengajak Pak Kadok melepaskan ayam masing-masing. Sembah Pak Kadok, silakanlah Tuanku.

Maka baginda pun lalulah menguja-uja ayam keduanya itu. Maka naiklah bengis keduanya, serta meremang bulu suak ditengkuknya, lalulah bersama-sama melepaskan ayam masing-masing. Maka ayam biring Si Kunani pun datanglah menggelepur ayam jalak. Dan Si Jalak pun segeralah membalas pula, tetapi kasihan,sungguh pun Si Jalak membalas, percuma saja kerana tajinya dibulang oleh Pak Kadok, juara tuntungnya kehadapan dan putingnya kebelakang. Jadinya bila Si Jalak membalas itu tertikamlah pada dadanya sendiri lalu tersungkur menggelupur ditengah gelanggang itu, kerana dua liang sudah lukanya sekali terkena tikam oleh taji Si Biring dan sekali ditikam oleh tajinya sendiri.

Setelah Pak Kadok melihatkan ayam jalak sudah mati dan Si Biring itu menang maka ia pun lupalah akan hal ia telah bertukar dengan baginda tadi. Wah apatah lagi ia pun tiadalah sedarkan dirinya seraya bertepuk tangan dan bersorak serta melompat-lompat lalu menyerukan tuah ayamya itu. Maka oleh tersangat bertepuk dan melompat itu, habislah pecah bercarik-carik seluar dan baju kertasnya itu, bercabiran berterbangan oleh angin berkeping-keping kesana kemari bercampang-camping. Maka Pak Kadok pun tinggallah berdiri ditengah khalayak yang banyak itu dengan bertelanjang bogel sahaja.

Hatta demi dilihat oleh baginda dengan sekalian orang besar-besar dan rakyat, tentera hina dina sekalian akan hal Pak Kadok ini, semuanya tertawa serta bertepuk tangan dengan tempek soraknya kesukaan melihat temasya Pak Kadok itu. Demikian juga baginda pun tertawa bersama-sama.

Maka ada pun akan Pak Kadok, demi ia melihat sekalian mereka itu habis tertawa, ia pun tercengang pula kerana pada sangkanya mereka itu menumpang kesukaan dirinya itu. Kemudian apabila ia menoleh kepada tubuhnya, barulah diketahuinya akan dirinya bertelanjang bulat itu. Aduhai! Malunya yang amat sangat lalu ia berkerja lari dengan bersungguh-sungguh hati, lansung pulang ke rumahnya. Maka baginda pun berseru dengan nyaring suaranya. Inilah malang Pak Kadok, ayamnya menang, kampung tergadai. Maka baginda dengan sekalian yang ada di dalam medan sabung itu pun kembalilah masing-masing kerumahnya.

Ada pun akan Pak Kadok lari itu tiadalah ia memandang lagi kekiri kekanan. Serta ia sampai kerumahnya seraya terpandang oleh Mak Siti, maka terpanjatlah orang tua itu seraya berkata, Apa kena awak, Pak Kadok seperti orang gila ini? Maka oleh Pak Kadok di kabarkannya ialah daripada awal hingga keakhirnya. Serta didengar sahaja oleh isterinya akan hal suaminya itu, ia pun menagislah kerana mengenangkan untungnya yang malang itu dengan berbagai-bagai sungut leternya akan Pak Kadok oleh kebodohannya itu. Maka Pak Kadok pun diamlah terkosel-kosel, tiada berani menjawab akan isterinya lalu ia pergi membuat kerjanya sehari-hari itu juga.

Sekali peristiwa Pak Kadok dijemput oleh orang makan kenduri. Mula-mula datang orang yang dihilir sungai tempatnya tinggal itu mempersilakan Pak Kadok kerumahnya pada esok hari, waktu zohor iaitu makanannya seekor kerbau. Maka katanya Baiklah. Setelah mereka itu sudah kembali, ada seketika datang pula orang dari hulu sungai itu menjemput Pak Kadok kerumahnya pada esok hari juga tatkala tengah hari muda, iaitu jamuannya memotong lembu dua ekor pula. Itu pun disanggupnya juga.

Telah hari malam, Pak Kadok pun tidurlah kedua laki isteri. Ada pun adat pak Kadok telah lazim padanya setiap pagi memakan nasi dingin yang telah direndam oleh isterinya pada malam itu. Apabila sudah makan nasi yang tersebut itu, barulah ia pergi barang kemana-mana membuat kerjanya.

Hatta setelah keesokan harinya, pagi-pagi pak Kadok pun bangunlah bersiap memakai, lalu turun memikul pengayuh berjalan menuju kepangkalan. Serta dilihat oleh isterinya ia pun menyeru akan suaminya katanya, Hai Pak Siti, tidakkah hendak makan nasi rendam ini lagi? Sementangkan nak makan lembu dan kerbau nasi ini ditinggalkan sahaja. Maka sahut Pak Kadok, Tak usahlah, curahkan ketanah biar dimakan oleh ayam kita. Maka oleh isterinya dengan sebenar nasi itu dibuangnya ketanah, dan Pak Kadok pun turun keperahu lalu berkayuh.

Ada pun pada masa itu air sungai sedang surut terlalu amat derasnya. Maka Pak Kadok berfikir di dalam hatinya, kemana baik aku pergi. Jika ke hilir tiada penat dan teruk aku berkayuh, hanya menurutkan ayir dihilir sahaja, tetapi kerbau seekor kemanakah padanya. Kalau begitu baiklah aku mudek juga.

Ia pun lalu berkayuh mudek menongkah air surut itu dengan terbengkil. Apabila penat dia berhenti sambil berfikir pula, dan perahunya hanyut balik kehilir setanjung dua tanjung jauhnya berkayuh pula. Demikianlah hal Pak Kadok, kayuh-kayuh berhenti dengan berfikir juga.

Beberapa lamanya air pun tenang surut. Hampir akan pasang baharulah Pak Kadok sampai kerumah jemputan itu, tetapi apalah gunanya. Sia-sia sahajalah penat jerehnya itu kerana matahari pun telah zuhur, jamuan itu pulang ke kampung masing-masing. Maka apabila terlihat oleh tuan rumah akan Pak Kadok datang itu, ia pun berkata, Amboi kasihannya di hati saya oleh melihatkan penat sahaja Pak Kadok datang, suatu pun tidak ada lagi, yang ada semuanya telah habis. Malang sungguhlah Pak Kadok ini. Telah didengar oleh Pak Kadok, maka ujarnya, sudahlah apa boleh buat. Sahajakan nasib saya.

Maka ia pun berkayuhlah hilir pula, hasratnya hendak mendapatkan rumah yang memotongkan kerbau itu pula, tetapi air sudah pasang deras. Maka Pak Kadok pun berkayuhlah bersungguh-sungguh hatinya menongkah air pasang itu, terbengkil-bengkil di tengah panas terik dengan lapar dahaganya. Tetapi kerana bebalnya itu tiadalah ia mahu singgah kerumahnya langsung sahaja ia kehilir, hendak segera menerpa kerbau yang lagi tinggal itu. Sehingga air pasang hampir akan surut, barulah Pak Kadok sampai kesana pada waktu asar rendah dan sekalian orang jemputan pun sedang hendak turun berkayuh pulang kerana sudah selesai jamuan itu. Maka apabila dilihat oleh Pak Kadok akan hal itu ia pun tiadalah hendak singgah lagi kerumah orang kenduri itu, lalu ia memaling haluan perahunya, langsung berkayuh mudek dengan rungutnya seperti baung dipukul bunyinya, kerana terlalu amat penatnya terpaja-paja ke hulu kehilir di tengah panas terik itu, perut pun sudah kebuluran dan mata Pak Kadok naik berbinar-binar, tambahan pula mudek itu pun menongkah juga. Maka pada waktu senja baharulah ia sampai kepangkalannya seraya menambat perahu dan naik ke rumah.

Shahadan, apabila dilihat oleh isterinya akan muka suaminya masam dan diam tiada berkata-kata, maka ia pun menyeru akan Pak Kadok, katanya apakah agak sebabnya orang pergi memakan lembu dan kerbau ini masam sahaja? Apa lagi yang kekurangan? Perut sudah kenyang makan daging.

Maka berbagai-bagai bunyi ratap Pak Kadok. Kemudian ia pun naiklah metanya, serta mengambil kayu api dan berkata, kenyang memakan kepala bapa engkau. Lalu ia memalu kepala isterinya. Dengan takdir Allah, sungguh pun sekali pukul sahaja, isteri Pak Kadok pun rebah lalu mati. Setelah dilihat oleh Pak Kadok isterinya sudah mati, ia pun merebahkan dirinya disisi isterinya itu lalu menangis mengolek-golekkan dirinya seraya berkata, aduhai malang nasibku ini, sudahlah penat berkayuh kehulu kehilir, mana kebuluran, sampai kerumah isteriku pula mati oleh perbuatanku juga. Maka berbagai-bagailah bunyi ratap Pak Kadok. Kemudian ia pun menjemput segala pegawai akan menanamkan isterinya itu.

Setelah selesai daripada pekerjaan itu, maka Pak Kadok pun berniat hendak pindah dari rumahnya, bertandang duduk barang kemana-mana rumah yang lain, asalkan boleh ia meninggalkan kampung halamannya itu sudahlah, kerana fikirannya dari sebab ia tinggal di rumah dan kampungnya itulah, maka ia beroleh kemalangan yang begitu sialnya. Setelah tetaplah fikirannya yang demikian, maka Pak Kadok pun mengemaskan sekalian harta bendanya lalu diangkatnya turun keperahu. Serta bersedia ia pun melangkah dengan tauhid hatinya meninggalkan kampung halaman dengan rumah tangganya, akan berpindah ke kuala sungai itu menumpang duduk di rumah seorang handainya disana. Arakian, Pak Kadok pun membabarkan layarnya seraya menujukan haluan perahunya ke kuala. Tetapi kasihan. Percumalah penat jereh Pak Kadok membentang layar dan mengemudikan perahunya itu, dari kerana sungguh pun pada masa ia menarik layar tadi angin paksa sedang kencang bagus, tetapi serta layarnya sudah sedia, angin pun mati seperti direnti-rentikan oleh yang hasad akan Pak Kadok lakunya. Maka perahu Pak Kadok pun hanyutlah terkatong-katong kehulu kehilir, ketengah dan ketepi menantikan angin. Beberapa lamanya dengan hal yang demikian, hari pun hampirlah akan petang, tubuh Pak Kadok terlalu amat letih dan lesunya. Lama kelamaan datang bebal hatinya serta merampas lalu ia menurunkan layer dan melabuh sauhnya seraya membentangkan kajang berbaring-baring melepaskan jerehnya.

Maka dengan kudrat Allah yang maha kaya menunjukkan kemalangan nasib Pak Kadok, angin paksa pun turunlah berpuput dengan ugahari kencangnya seolah-olah khianatkan Pak Kadok lakunya. Tetapi sia-sialah sahaja puputan bayu yang sedemikian itu moleknya hingga menjadi paksa yang maha baik dengan sebab kemalasan menjadi kemalangan bagi diri Pak Kadok, hingga ditaharkan perahunya ulang-aling di palu oleh ombak dengan gelombang ditengah sungai itu, seraya berkata Cheh! Angin bedebah ini sahajakan ia hendak menunjukkan makarnya kepada aku. Sedanglah sudah sehari suntuk aku hanyut, tak mahu turun, agaknya oleh tegar hatiku. Biarlah tak usah aku belayar, asalkan puas rasa hati ku. Jangan aku menurutkan kehendak engkau. Kemudian ia pun tidurlah dengan terlalu amat lenanya kerana lelah dan kelaparan.

Hatta setelah keesokan harinya, pagi-pagi Pak Kadok pun bangunlah membongkar sauhnya seraya berkayuh perlahan-lahan seharian itu, hingga petang barulah ia sampai kerumah sahabatnya itu, seraya mengangkat sekalian barang-barangnya naik kesitu. Maka tinggallah Pak Kadok menumpang di rumah handainya itu selama-lamanya dengan tiada sekali-kali ingatannya hendak kembali kekampung halamannya dari sebab bodohnya.

Maka dari kerana kemalangan diri Pak Kadok itu sentiasa di perbuat orang akan bidalan oleh sekalian mereka pada zaman sekarang dengan seloka, demikianlah bunyinya: Aduhai malang Pak Kadok! Ayamnya menang kampung tergadai Ada nasi di curahkan Awak pulang kebuluran Mudek menongkah surut Hilir menongkah pasang Ada isteri di bunuh Nyaris mati oleh tak makan Masa belayar kematian angin Sudah di labuh bayu berpuput Ada rumah bertandang duduk.




Pak Pandir

Pada suatu hari, pagi-pagi lagi Mak Andih mengejutkan Pak Pandir daripada tidurnya. Mak Andih hendak menyuruh Pak Pandir pergi mengangkat pukat. Pukat itu ditahan oleh Mak Andih di tepi sungai.
"Pak Pandir! Oh, Pak Pandir!" Mak Andih memanggil. Pak Pandir terdengar suara Mak Andih memanggilnya. Dia membuka matanya sambil menguap. Dia masih mengantuk.
"Pak Pandir! Oh, Pak Pandir!" Mak Andih memanggil lagi. "Ada apa, Mak Andih?" tanya Pak Pandir. Dia masih berbaring di tempat tidurnya.
"Pergilah awak mengangkat pukat di sungai," kata Mak Andih. Tetapi Pak Pandir menjawab,
"Saya masih mengantuk." Mendengar jawapan itu, Mak Andih membiarkan Pak Pandir tidur.
"Kasihan, Pak Pandir! Dia masih mengantuk lagi," ujar Mak Andih dalam hatinya. Pak Pandir terlena semula.
Tidak lama kemudian, Mak Andih mengejutkan Pak Pandir sekali lagi. Dia berharap Pak Pandir dapat pergi mengangkat pukat. Jika mendapat ikan, tentulah boleh dijadikan lauk untuk makan pada hari itu. "Pak Pandir! Oh, Pak Pandir!" Mak Andih memanggil. Pak Pandir terdengar lagi suara Mak Andih memanggilnya. Tetapi dia masih mengantuk. "Pak Pandir! Oh, Pak Pandir!" Mak Andih masih memanggil. "Ada apa, Mak Andih?" tanya Pak Pandir. Dia masih mengantuk. "Pergilah awak ke sungai. Angkat pukat," kata Mak Andih. "Masih awal lagi. Matahari belum naik," ujar Pak Pandir. Mak Andih membiarkan Pak Pandir tertidur semula. Tidak lama kemudian, terdengarlah Pak Pandir berdengkur. Setelah matahari terbit, Mak Andih mengejutkan Pak Pandir semula. "Pak Pandir! Oh, Pak Pandir!" laung Mak Andih. "Ada apa, Mak Andih?" Pak Pandir bertanya dari dalam selimutnya. "Matahari sudah naik. Pergilah angkat pukat," ujar Mak Andih. Tetapi Pak Pandir menjawab, "Saya sejuk. Biarlah matahari naik lebih tinggi." Mak Andih terdiam apabila mendengar Pak Pandir menjawab begitu. "Kasihan Pak Pandir! Dia masih berasa sejuk," kata Mak Andih dalam hatinya. Mak Andih lalu membiarkan Pak Pandir berdengkur semula.
Setelah matahari naik sudah agak tinggi, Mak Andih mengejutkan Pak Pandir semula. "Pak Pandir! Oh, Pak Pandir!" Mak Andih melaung kuat. "Ada apa pula, Mak Andih?" tanya Pak Pandir dengan mata terpejam. Kalau begitu, tunggulah pagi esok pula," sahut Pak Pandir. Mak Andih terdiam. Pak Pandir berasa lega kerana suara Mak Andih tidak kedengaran lagi. "Lega rasanya hatiku. Sekarang aku boleh sambung tidur semula," kata Pak Pandir dalam hatinya.
Sejurus kemudian, terdengarlah Pak Pandir berdengkur semula. Dia sudah terlena. Tetapi sejurus selepas itu, terkejutlah Pak Pandir apabila terdengar suara Mak Andih bertempik di hujung kakinya. Suara Mak Andih kuat bagai halilintar. "Awak hendak bangun atau hendak tidur?" Mak Andih sudah naik angin. "Hendak bangun!" jawab Pak Pandir. Dia sudah berdiri. "Awak hendak pergi angkat pukat atau tidak?" Mak Andih benar-benar sudah meradang. "Memukat boleh, menjala pun boleh!" jawab Pak Pandir.
Kecut hatinya apabila melihat Mak Andih sudah meradang. "Awak takut pada buaya atau lebih takut pada parang tumpul ini?" tanya Mak Andih lagi. Kecutlah hati Pak Pandir apabila melihat Mak Andih memegang sebilah parang tumpul. "Saya tidak takut pada buaya. Saya lebih takut pada parang tumpul itu," jawab Pak Pandir dengan suara menggigil. Mahu tidak mahu, terpaksalah Pak Pandir pergi ke sungai. Apabila tiba di tepi sungai, dilihatnya pukat itu sudah tercabut dan berbelit-belit. Pak Pandir berasa hairan. "Mengapa pula pukat ini terjadi begini?" dia bertanya sendirian. Pak Pandir lalu memerhati dengan teliti. Terkejutlah Pak Pandir kerana menyangka di dalam pukat itu terdapat seekor ikan yang sangat besar. Padahal, di dalam pukat itu sebenarnya terdapat seekor ular sawa. Pak Pandir menyangka ular sawa itu ialah ikan haruan. "Ini tentulah ibu haruan!" fikir Pak Pandir. "Wah, besar sungguh ibu haruan ini!" ujar Pak Pandir lagi dalam hatinya. Ia berasa sangat gembira. "Mak Andih tentu gembira!" fikirnya lagi. Tanpa berlengah lagi, Pak Pandir mengangkat pukat itu dan terus membawanya pulang. "Berat sungguh ibu haruan ini," Pak Pandir merungut .
Namun, Pak Pandir berusaha memikulnya. Akhirnya, Pak Pandir sampai di rumah. Pak Pandir membawa naik pukat itu ke atas rumah. "Mak Andih! Kita dapat ikan besar," kata Pak Pandir dengan hati sangat gembira. "Ikan apa?" tanya Mak Andih dari dapur. "Ibu haruan!" jawab Pak Pandir. "Besar mana ibu haruan itu?" terdengar lagi suara Mak Andih bertanya dari dapur. "Besar!" jawab Pak Pandir lagi. "Yalah! Besar mana? Sebesar lengan atau sebesar betis?" Mak Andih ingin tahu. "Besar macam paha. Panjang macam batang pinang," terang Pak pandir. Mendengar kata-kata Pak Pandir itu, Mak Andih pun terus meluru keluar. Apalagi! Bertempiklah Mak Andih kerana sangat terkejut melihat ular sawa itu. "Ular sawa!" Lintang-pukang Mak Andih lari, terjun dari rumahnya. Pak Pandir turut terkejut setelah mendengar Mak Andih bertempik begitu. Apabila melihat Mak Andih lari lintang-pukang, Pak Pandir turut lari dan terjun dari rumahnya. "Minta maaflah, Mak Andih! Saya fikir ibu haruan. Tetapi rupa-rupanya ular sawa," kata Pak Pandir. Mak Andih terdiam sahaja kerana masih tergaman. Mukanya pucat lesi kerana masih ketakutan. Pak Pandir tersengih-sengih. Dia berasa malu kerana kebodohannya itu.

Mat Jenin

Syahadan, maka tersebutlah kisah seorang pemuda yatim piatu yang dikenali sebagai Mat Jenin. Pemuda itu hidup sebatang kara di sebuah desa di gerubuk peninggalan ibubapanya. Gerubuk itu teramatlah daifnya dengan dindingnya yang senget dan atap rumah yang bocor apabila hujan turun dengan lebatnya. Akan tetapi semua itu tidaklah dipedulikan oleh Mat Jenin kerana dia amat malas membuat kerja. Malah untuk membaiki gerubuk pusaka itu pun tidak di pedulikannya. kerjanya pula sehari-harian hanyalah memasang angan-angan.

Maka mashyurlah seluruh daerah itu tentang tabiat dan perangainya itu menjadi buah mulut orang. Akan apabila Mat Jenin berasa lapar, pergilah ia ke kedai makan dan duduk menunggu di situ kalau-kalau ada orang yang baik hati yang akan menanggung makan-minumnya. Maka kalau ada sesiapa yang ingin berseronok, segeralah dia menegur Mat Jenin bertanyakan angan-angannya yang terbaru. Mat Jenin pun bersegeralah menceritakan angan-angannya itu tanpa bertangguh lagi apatah lagi jika yang menegur itu pula menyuruh dia meminta apa-apa makanan yang diingini. Maka Mat Jenin akan bercerita sehingga sehari suntuk tidaklah dia mahu berhenti. Apabila kerbau sudahpun balik ke kandang, ayam dan itik pulang ke sarang, api menyala di dian, barulah dia balik ke gerubuk buruknya itu untuk tidur. Angin ribut yang bertiup pun tidak dibimbangnya, malah jikalau gerubuk buruknya bergegar dipukul angin, dia hanyalah menarik kain selimutnya dengan lebih rapat lagi sambil berangan-angan. Katanya jikalaulah roboh gerubuk itu, tentulah jiran-jiran sekeliling akan membantu dia membina rumah baru. Jadi tidaklah lagi dia perlu bersusah-payah membaiki teratak buruk itu. Akan begitulah kerja Mat Jenin itu sehari-hariani. Jika apabila tidak ada orang yang hendak membayar makan-minumnya barulah dia mencari kerja. Tetapi kerja yang dibuatnya pula dipilih-pilih, tidaklah dia ingin membanting tulang di sawah padi kerana panas, ataupun pergi menangkap ikan kerana mabuk katanya. Oleh itu apa yang sanggup dilakukan oleh Mat Jenin hanyalah memanjat pokok kelapa, kerana menurutnya kerja itu teduh dan berangin pula. Itupun Mat Jenin hanyalah mengambil upah memanjat pokok kelapa apabila dia memerlukan duit belanja.

Tersebutlah pada suatu hari nasib Mat Jenin tidak begitu baik kerana tidak ada orang yang ingin membayar makan-minumnya. Maka terpaksalah dia mencari-cari sesiapa yang ingin mengupahnya memanjat pokok kelapa. Tetapi lebih malang lagi nasibnya itu, pada hari itu dia tidak berjumpa dengan sesiapa pun yang memerlukan kelapanya dipetik. Maka terpaksalah dia merayau-rayau sekeliling kampung dalam keadaan kelaparan. Sedang dia duduk berfikir-fikir seorang diri tentang apa yang perlu dilakukannya maka nampaklah olehnya seorang nenek tua sedang mendongak-dongak ke atas melihat-lihat buah kelapa.
"Nenek nak kelapa? Saya boleh tolong panjatkan." sapa Mat Jenin Nenek itu berpaling ke arah Mat Jenin.
"Memang nenek mencari buah kelapa untuk memasak. Boleh ke cucu tolong petikkan untuk nenek?"
"Sudah tentu boleh nenek. tetapi apa yang nenek boleh berikan kepada cucu sekiranya cucu tolong petikkan buah kelapa nenek?" tanya Mat Jenin.

Jawab nenek tua itu, "Nenek tak ada banyak benda nak nenek beri. Tetapi kalau cucu sanggup petikkan buah kelapa ini untuk nenek, bolehlah cucu makan sekali dengan nenek. Lagipun nenek boleh berikan beberapa biji telur ayam untuk cucu."
"Saya nak buat apa telur ayam tu." kata Mat Jenin.
"Telur ayam ini kalau cucu eramkan, nanti akan menetas. Bolehlah cucu membela ayam,"jawab nenek itu lagi.
Mat Jenin duduk berfikir sejenak di dalam hatinya, kalau telur itu menetas sudah tentu aku akan dapat membela ayam untuk aku jual.
" Baiklah nenek, sangguplah saya memanjat kelapa ini untuk nenek." Setelah berkata demikian, maka Mat Jenin pun mulalah memanjat pokok kelapa itu. Ketika mula hendak memanjat itu, dia asyik berfikir tentang kata-kata nenek itu maka hatinya bertambah girang.
"Kalau aku eramkan telur-telur itu tentulah telur-telur itu menetas. Bolehlah aku biarkan ayam-ayam itu sekeliling gerubuk aku sehingga besar. Apabila sudah besar bolehlah aku makan."
Setelah berfikir demikian, dia pun berpaling kepada nenek itu dan berkata,
"Kalau telur-telur itu menetas bolehlah saya makan ayamkan, nenek?"
Nenek tua itu kehairanan tetapi terus sahaja menjawab
"Betul cu."
Sambil Mat Jenin berangan-angan, dia terus memanjat pokok kelapa itu semakin tinggi.
"Tetapi kalau aku biarkan ayam-ayam itu bertelur tentulah semakin banyak ayam-ayamaku membiak. Jadi tentunya aku akan dapat banyak daging dan telur untuk aku makan.Tetapi kalau terlalu banyak tentu susah aku menjaganya. Jadi baik aku tukarkan ayam-ayam itu dengan kambing tentu lebih beruntung. Bolehlah aku biarkan kambing-kambing itu mencari makan di keliling gerubuk aku. Tak perlu aku bersusah payah memanjat pokok kelapa lagi. Dan lagi tidak perlulah aku risau-risaukan menjaga ayam-ayam itu banyak-banyak." fikirnya lagi. Setelah berfikir demikian, dia pun berpaling kepada nenek itu dan berkata
"Kalau ayam-ayam itu saya jual bolehlah saya dapatkan kambing, kan nenek?" Nenek tua itu berasa geli hati mendengarkan kata-kata Mat Jenin itu tetapi dia terus menjawab
"Betul tu cu." Mat Jenin memanjat semakin tinggi, sambil itu dia berangan-angan semakin tinggi,
"Kalau aku sudah banyak kambing, aku akan tukarkan dengan lembu pula. Lagipun lembu itu lebih gemuk dan banyak dagingnya. Tentu aku bertambah kaya dan dihormati orang."

Sekali lagi dia menoleh ke bawah melihat nenek itu, "Kalau saya tukarkan kambing itu dengan lembu tentu lagi baik, kan nenek?" dia menjerit ke bawah. Nenek itu terus menjawab "Betul tu cu.." sambil tersenyum-senyum, menampakkan gusinya yang tidak bergigi itu. Nasib baik Mat Jenin sudah jauh di atas pokok kelapa dan tidak nampak nenek itu mentertawakan dia. Mat Jenin semakin kuat berangan-angan, "Kalau aku sudah dapat membela lembu, tentu aku dapat mengupah orang untuk menjaga lembu-lembu itu sehingga beranak pinak. Jadi aku akan dapat lebih banyak lembu, aku akan jadi kaya. Tak perlulah aku susah payah berkerja lagi . Bolehlah aku membela kerbau pula nanti." Sekali lagi dia memekik ke bawah, "Nenek! kalau saya sudah banyak lembu bolehlah saya tukarkan dengan kerbau pula ye, nenek. Kayalah saya masa itu." Sekali lagi nenek itu menjawap, "Betul tu cu." "Kalau cu sudah kaya bolehlah cucu berkahwin." tambahnya lagi.
Mat Jenin mengangguk-anggukkan kepalanya, "Kawin!" Dia terus memanjat semakin tinggi meninggalkan nenek itu sayup-sayup di bawah sana.

Ya!Ya! Kalau selama ini tidak ada perempuan yang ingin memandang mukanya kerana kemiskinannya, tentu akan berebut-rebutlah perempuan yang gilakannya setelah dia kaya nanti. Tetapi, masa itu dia tidak akan melayan perempuan- perempuan itu. Dia sudah pun kaya dan tentu dia dapat memilih siapa calon isterinya nanti. Ya! Ya! dia sudah tentu memilih isterinya dari perempuan-perempuan yang istimewa. Dia akan memilih puteri raja. "Nenek! Saya akan kahwin dengan puteri raja." jeritnya ke bawah. Jawapan nenek itu hanya sayup-sayup, tidak didengarinya kerana dia sudah pun tinggi di atas pokok kelapa. "Tentu aku akan mempunyai ramai anak." fikirnya lagi sambil tersenyum- senyum. "Dan mereka akan berlari-lari membuat bising. Isteri aku tentu akan mengidamkan perhiasan emas dan meminta dari aku. tetapi aku tidak akan beri. Kalau dia membuat bising, tentu aku akan tampar dia seperti ini." Serentak dengan itu Mat Jenin melepaskan pelukannya dan menampar pelepah kelapa itu sambil menengking "Jangan nak mengada mintak barang kemas dari aku.", dan ketika itu bertempiaranlah seekor tupai yang sedang menyorok di celah pelepah kelapa itu, mengejutkan Mat Jenin dari angan-angannya itu. Mat Jenin terkejut besar sehinggakan terlepaslah pegangannya dari pokok kelapa itu.Maka jatuhlah dia dari pokok kelapa itu sampai ke bawah, berdebuk seperti buah kelapa tua yang luruh bunyinya.
Terkejutlah nenek tua itu melihatkan Mat Jenin terjatuh dan bersegeralah dia meluru untuk memberikan pertolongan Malangnya MatJenin telah mati di situ juga. Maka dengan itu tamatlah riwayat Mat Jenin yang terlampau suka berangan-angan sehinggakan menjadi mangsa angan-angannya itu sendiri. Demikianlah diceritakan orang kisah Mat Jenin yang malang.
Pengajaran yang didapati ialah:
1.Jangan berangan-angan
2.Buat kerja dengan bersungguh-sungguh
3.Jangan lalai ketika membuat sesuatu pekerjaan.




LIRIK LAGU RAKYAT

TRADISI MALAYSIA

LAGENDA MELAYU

LAMAN MATEMATIK

JANGAN KAU KAHWINI WANITA YANG ENAM...

Pesanan Rasulullah saw untuk kaum Lelaki : "Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang ananah, yang mananah, dan yang hananah dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang basaqah dan yang syadaqah".

1. Wanita Ananah : wanita yang banyak mengomen itu dan ini. Apa yang diberi atau dilakukan suami untuk rumahnya tangga semua tidak kena dan tidak berpuas hati.

2. Wanita Mananah : wanita sebegini yang menidakkan usaha dan jasa suami sebaliknya mendabik dada dialah yang banyak berkorban untuk membangun rumah tangga. Dia suka mengungkit-ungkit apa yang dilakukan untuk kebaikan rumah tangga. Biasanya wanita ini bekerja atau berkedudukan tinggi dan bergaji besar.

3. Wanita Hananah : Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain dan wanita ini berangan-angan mendapatkan suami yang lebih baik dari suami yang sedia ada. Dalam kata lain wanita sebegini tidak bersyukur dengan jodohnya itu. Wanita sebegini yang mengkufuri nikmat perkahwinan. Dia juga merendahkan kebolehan dan kemampuan suaminya.

4. Wanita Hadaqah : melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya utk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya selain itu wanita ini suka ikut nafsunya. Wanita sebigini memeningkan kepala lelaki. Dia tenguk apa saja dia mahu. Dia suka membandingkan dirinya dengan diri orang lain. Suka menunjuk-nujuk. Wanita inilah yang menjadikan suami dulu handsome sekarang sudah botak.

5. Wanita Basaqah : ada 2 makna: Pertama wanita sebegini yang suka bersolek dan menghiaskan diri. Dia menghias diri bukan untuk sumainya tetapi untuk ditunjuk-tujukkan kepada dunia. Suka melawa. Wangnya dihabiskan untuk membeli make-up, kasut dan barang kemas. Wanita begini juga suka dipuji-puji. Kalau dia kebetulan menjadi isteri orang ternama dan menjadi pula ketua dalam kumpulan itu, orang lain tidak boleh mengatasi dirinya.

Kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

6. Wanita Syadaqah : banyak cakap, tidak menentu lagi bising. Kebecokan itu juga menyebabkan segala kerja yang dibuatnya tidak menjadi, hanya tukang sibuk dan komen saja.

Dicatat oleh Imam Al-Ghazalli...Wallahu'alam.

Semoga kita dijauhi daripada golongan wanita sebegini... Amin.




SELOK BELOK ISLAM..

SI TANGGANG DERHAKA

Si Talang dan Si Deruma mempunyai seorang anak lelaki bernama Si Tanggang. Kehidupan mereka sekeluarga amatlah miskin. Si Tanggang selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal.
Pada suatu hari, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi berjumpa dengan Nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja. Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal Nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.
Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.
Si Tanggang cekap dan pandai berniaga. Namanya menjadi terkenal. Oleh itu dia dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.
Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya.

“ Anak kita sudah pulang. Marilah kita pergi tengok” kata Si Talang.
“ Ya, aku rindukan Si Tanggang. Khabarnya dia sudah kaya sekarang, “ kata Deruma dengan gembira.

Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda Tanggang. Si Deruma membawa makanan kegemaran Si Tanggang, iaitu pisang salai. Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya.
“ Siapakah kedua-dua orang tua ini?” tanya Si Tanggang kepada anak kapalnya.
“ Mereka mengaku sebagai ibu bapa tuan,” jawab anak kapal itu.
“ Betulkah mereka ini ibu bapa kanda ?” tanya isteri Si Tanggang.
Si Tanggang berasa malu untuk mengaku orang tua itu ibu bapanya. Kesusahan dan kemiskinan membuat Si Talang dan Si Deruma kelihatan begitu uzur dan daif sekali.
“ Ibu bapa kanda? Oh, tidak! Kanda tidak mempunyai ibu bapa lagi. Mereka bukan ibu bapa kanda. Jangan benarkan kedua pengemis ini naik ke kapal !” herdik Si Tanggang. Mukanya merah padam kerana malu dan marah.
“ Oh, anakku, Si Tanggang! Aku ibumu. Ibu ada bawakan pisang salai kegemaranmu, nak “ kata Si Deruma.
“ Pergi! “ tengking Si Tanggang. Dia memukul jari ibunya yang bergayut pada bahagian tepi kapal. Pisang salai yang dibawa ibunya, dibuang ke laut.

Si Talang dan Si Deruma berasa terlalu sedih dan kecewa. Sungguh tidak disangka anak kesayangan mereka telah berubah. Mereka pun berdayung ke tepi. Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit. Sambil mengangkat kedua-dua belah tangan dia berseru “ Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya.”
Tiba-tiba petir berdentum. Angin bertiup kencang. Kapal yang sedang berlabuh itu terumbang-ambing. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka. “ Oh, ibu! Ampunkanlah Tanggang. Tanggang mengaku, Tanggang anak ibu!' teriak Si Tanggang.
Akan tetapi, Si Tanggang sudah terlambat. Gelombang yang kuat memecahkan kapalnya. Apabila ribut reda, kapal Si Tanggang menjadi batu. Semua anak kapal juga bertukar menjadi batu. Si Tanggang dan isterinya turut menjadi batu.

BATU BELAH BATU BERTANGKUP

Sepasang suami isteri miskin, Si Kantan dan Si Tanjung tinggal dekat Bukit Berapit Sebatu dari Pangkalan Kampar. Mereka menyara hidup dengan mengambil upah menganyam atap nipah, bersawah, menganyam tikar, menangkap ikan sungai dan sebagainya sehingga berjaya memiliki sebidang tanah dan sebuah rumah.

Pada suatu hari, mereka pergi ke pinggir hutan untuk mencari sayur. Tatkala sedang memetik daun cemperai, mereka terdengar suara kuat yang amat menyeramkan. Si Kantan memeritahu isterinya bahawa itulah gua Batu Belah Batu Bertangkup sebagaimana pernah diceritakan oleh datuknya. Beberapa tahun kemudian mereka memperolehi dua orang anak, seorang Si Bunga Melur dan seorang lagi Si Pekan. Malang menimpa, Si Kantan mati sewaktu anak-anaknya masih kecil menjadikan Si Tanjung hidup tidak keruan, dan hilang tempat bergantung.

Pada suatu hari, Si Tanjung dapat mengail seekor ikan tembakul. Disuruhnya Melur merebus telur ikan itu sementara dia pergi mandi. Apabila telur itu masak, sebahagiannya diberikan kepada Si Pekan dan sebahagian lagi disimpan untuk ibunya. Si Pekan menangis kerana dia ingin makan lagi telur ikan bahagian ibunya sehingga memaksa kakaknya memberikan telur itu kepadanya. Melur mendapat sebiji telur ayam untuk mengantikan telur ikan sebagai lauk ibunya. Perbuatan Si Pekan membuatkan Si Tanjung merajuk, terkilan dan marah.

Akhirnya ia mengambil keputusan menyerahkan diri kepada Batu Belah Batu Bertangkup walaupun dirayu belas kasihan oleh Si Bunga Melur yang terus mengekorinya sambil mendukung Si Pekan. Sebagai kanak-kanak, langkahnya tidak secepat ibunya. Sampai di pintu gua batu itu, ibunya sudah ditelan oleh batu itu, Melur pun jatuh pengsan.

Sewaktu pengsan, Si Bunga Melur bermimpi didatangi seorang tua menasihatinya supaya tidak pulang lagi ke rumahnya. Sebaliknya disuruh mengambil tujuh helai rambut ibunya yang terjulur itu serta membawa telur ayam yang mahu dibuat lauk ibunya itu. Dia hendaklah berjalan mengikut arah kakinya dan membakar sehelai daripada rambut ibunya setiap kali hendak tidur. Melur mendukung Si Pekan meredah hutan belukar dan semak samun sehingga sampai ke rumah Dato’ Penghulu. Orang tua itu bersimpati dan ingin memelihara mereka. Sewaktu tidur, Si Bunga Melur bermimpi didatangi orang tua yang sama menyuruh dia meneruskan perjalanan ke kampung yang ketiga.

KOLEKSI CERITA RAKYAT