PROFIL INSAN BERMORAL

PENGENALAN Rakyat Malaysia memang terkenal dengan amalan budaya ketimuran seperti berbudi bahasa dan bersopan santun. Melalui subjek Pendidikan Moral, nilai-nilai ketimuran dapat dipupuk kepada setiap pelajar awal-awal lagi. Ini juga amat berkait rapat dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan “Budi Bahasa Budaya Kita” yang boleh direalisasikan melalui amalan nilai murni yang terkandung di dalam Pendidikan Moral. Untuk itu, peranan Guru Pendidikan Moral adalah amat penting dalam melahirkan insan yang bermoral dan berakhlak mulia.

i. Apakah yang dimaksudkan dengan profil insan bermoral? Menurut modul HBME3103 Pendidikan Moral Tahun 4, pada halaman 6, menyatakan insan bermoral merupakan individu yang melakukan kebaikan. Insan bermoral merujuk kepada individu yang mempunyai tingkah laku baik yang diterima oleh sesebuah masyarakat. Perlakuan seseorang individu itu biasanya menggambarkan bentuk atau sifat pemikirannya terhadap perlakuan tersebut. Insan yang bermoral adalah individu yang mempunyai niat yang baik dan dijelmakan dengan perbuatan yang baik. Secara keseluruhannya insan yang bermoral tidak akan melakukan perbuatan yang tidak bermoral walaupun niatnya baik. Ini kerana perbuatan yang tidak bermoral itu bertentangan dengan nilai norma dan peraturan dalam sesebuah masyarakat.

Insan bermoral juga adalah lahir daripada amalan nilai murni berasaskan kepada dimensi dan pegangan prinsip moralnya. Kekuatan untuk mengamal dan mempertahankan prinsip moral yang selari dengan peraturan masyarakat menjadi faktor utama dalam melahirkan insan bermoral. Ketekalan moral menguatkan pegangan “aku tetap aku” walau dalam apa keadaan dan di mana seseorang itu berada. Insan yang bermoral meliputi tiga dimensi iaitu penaakulan, emosi dan tingkahlaku moral.

Penaakulan nilai moral dalam pendidikan moral menjadi asas bagaimana seseorang individu menterjemahkan amalan nilai-nilai murni di dalam kehidupan sehariannya. Melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai murni yang diperoleh dalam pendidikan moral, sama ada secara formal atau tidak, akan dapat mewujudkan satu masyarakat yang bermoral tinggi. Amalan nilai murni suatu masyarakat itu bermula dari diri individu itu sendiri. Dengan perkataan lain, penaakulan moral bagi seseorang individu itu adalah berdasarkan kepada pemikiran yang bebas dan rasional yang mana penekanan utamanya ialah memahami tentang nilai-nilai moral dan bertindak atau menunjukkan tingkah laku yang berasaskan nilai-nilai murni yang diterima dalam sesebuah masyarakat. Contohnya dengan memahami nilai rajin, bantu-membantu, baik hati dan semangat bermasyarakat, maka individu itu menyertai aktiviti gotong-royong (ini adalah penakulan moral induksi). Aktiviti seperti gotong-royong dapat memperlihatkan nilai yang diamalkan individu yang menyertainya iaitu nilai rajin, bantu-membantu, baik hati dan semangat bermasyarakat (ini adalah penaakulan moral deduksi).

Perasaan moral atau emosi moral adalah berkaitan dengan emosi yang menunjukkan kehalusan perasaan individu yang mengandungi sentimen, simpati, empati, murah hati, motivasi dan sebagainya. Dalam amalan seharian perasaan moral ini, ianya melibatkan kepentingan harga diri (self esteem), kepentingan kepedulian, kawalan diri, menyayangi dan disayangi yang melibatkan hati nurani. Perasaan moral akan menjadikan diri individu bertindak secara positif sekiranya mengamalkan emosi yang positif dan dapat mengawal emosi yang negatif. Dengan lain perkataan mendahulukan fikiran daripada perasaan.

Dimensi moral seterusnya dikenali sebagai perlakuan moral. Ia bermaksud tingkah laku dan tindakan seseorang individu terhadap tindakan dan keputusan yang ditunjukkan dengan rasa penuh tanggungjawab berdasarkan kepada penaakulan dan emosi moralnya. Tingkah laku ini berkait rapat dengan ketekalan diri, kekuatan jati diri, dan kecekapan membuat keputusan dengan mengamalkan keadilan dan rasional. Anda perlu tahu bahawa sebenarnya emosi dan penaakulan moral adalah sama penting dari segi perlakuan moral.

Tingkah laku moral adalah dimensi moral yang menterjemahkan penaakulan dan emosi moral. Tingkah laku yang baik dan buruk adalah hasil daripada bagaimana seseorang itu menaakul dan menggunakan emosi moral dalam tingkah lakunya. Sebagai contohnya, seseorang yang membantu orang lain dalam kesusahan seperti ditimpa kemalangan jalan raya adalah hasil daripada pemikiran baik hati iaitu “kita mesti membantu orang dalam kesusahan”. Di samping itu, emosi pula menyatakan rasa empati dan belas kasihan kepada orang yang dalam kesusahan. Sebenarnya ketiga-tiga dimensi moral ini adalah sama penting dalam penghayatan dan amalan dari segi moral.

Kupperman (1983) dalam Modul OUM HBME3103, melaporkan bahawa orang yang membuat sesuatu yang tidak bermoral, tidak semestinya lebih bodoh atau lebih pandai berbanding dengan orang yang biasa. Bagaimanapun, individu yang tidak bermoral ini sentiasa tidak sensitif terhadap kesengsaraan mangsanya kerana kesukaran untuknya memperoleh perasaan moral. Apabila seseorang individu dapat menaakul secara rasional dan bebas, perlakuan individu dalam bentuk tingkah laku dan tindakan akan terhasil. Perlakuan ini akan dipengaruhi oleh emosi dan perasaan individu tersebut. Pada masa yang sama, perlakuan ini adalah bersifat moral, bukan hanya mengikut perintah atau arahan daripada penaakulannya serta yakin penaakulan ini mudah dikawal oleh autoriti luaran. Sebaliknya penaakulan tanpa rasional dan tidak bebas, serta tidak disertai oleh emosi atau perasaan moral, akan menghasilkan perlakuan individu yang tidak berautonomi dan mungkin tidak bermoral. Ini menyebabkan tindakan atau tingkah lakunya telah bertentangan dengan keluhuran hatinya.

Rumusannya, insan yang bermoral mengembangkan penaakulan moral, emosi moral dan perlakuan moral dengan seimbang. Dengan lain perkataan, ketiga-tiga dimensi ini mesti saling berinteraksi atau mempengaruhi antara satu sama lain untuk membina satu insan yang bermoral. Secara umumnya, seseorang insan yang bermoral adalah insan yang berautonomi, rasional dan bebas dalam penaakulan, perlakuan dan perasaannya. (sumber: Modul HBME3103: Pendidikan Moral Tahun 4)

ii. Peranan guru dalam membentuk insan bermoral. Profesion perguruan atau bekerja sebagai guru adalah antara beberapa jenis pekerjaan yang penting dalam proses pembangunan manusia, masyarakat dan negara. Profesion perguruan merupakan profesion paling utama di dalam proses penyerapan ilmu pengetahuan kepada individu dan masyarakat. Dalam era globalisasi sekarang, peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar. Golongan guru hendaklah memastikan martabat perguruan sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa ke tahap yang lebih tinggi dan dihormati seterusnya dapat merealisasikan Misi Nasional seperti yang digariskan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Guru juga berperanan besar membentuk pelajar menjadi insan yang mempunyai nilai-nilai dan jati diri yang tinggi serta bermoral.

Guru adalah merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberkesanan para guru adalah bersandarkan tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi. Pendidik dari kacamata Islam merupakan murabbi, muallim, muaddib, alim atau ulama’. Mereka berfungsi bukan saja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga masyarakat. Ia juga berkait rapat tentang tanggungjawab, amanah, komitmen dan hubungannya dengan Allah. Perpaduan kaum dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai–nilai murni seperti saling menghormati antara satu sama lain tidak mengira bangsa dan agama.

Para pendidik juga berperanan menerapkan nilai kerjasama dan toleransi di kalangan pelajar. Jika kita lihat, orang-orang Islam telah diikat oleh satu peraturan supaya hidup berjiran dan bersahabat dengan mereka. Hak jiran tidak boleh dikurangi dan tidak boleh boleh dilanggar sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam pembentukan negara Islam. Dengan ini, terciptalah satu masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan demi mewujudkan kebahagiaan bersama dalam satu masyarakat dan satu negara. Sikap toleransi yang diterapkan oleh guru dapat membentuk hubungan yang baik dalam masyarakat yang mampu melahirkan integrasi nasional. Prinsip utama seorang guru yang cemerlang adalah ia mesti faham bahawa tugas 'mengajar dan mendidik serta meneladani adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru yang mengajar anak bangsanya perlu menganggap profesion ini sebagai satu jihad yakni menentang, membasmi dan mencegah kejahilan, kelemahan, kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan dan menjadikannya sebagai suatu ibadah. Oleh itu seseorang guru itu akan memainkan peranan mengikut keadaan dan situasi secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas; yang di dalam Islam guru sebenar guru ini dikelaskan sebagai:

a. al-mu'allim : menyampaikan ilmu yang benar. b. al-murabbi : menjayakan proses tarbiah. c. al-mu'addib : mengajarkan adab dan budi pekerti. d. al-mursyid : membentuk kepimpinan insan. e. al-mudarris : menitipkan pelajaran dan kemahiran.

Seorang guru yang cemerlang tidak akan cepat menyalahkan keadaan dan tempat sebelum ia menyalahkan dirinya terlebih dahulu, dan di samping itu pula berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri ke tahap yang paling tinggi. Antara peranan guru dalam melahirkan insan bermoral adalah:

a) Menyampaikan Ilmu (Mu’allim)

Ilmu pengetahuan yang benar dan diyakini akan menjadikan seseorang individu itu berpegang teguh dalam amalannya. Guru berperanan untuk menyampaikan ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni dalam proses melahirkan insan yang bermoral. Guru harus menyampaikan isi kandungan pendidikan dengan berkesan tanpa mengabaikan nilai-nilai murni dalam menyampaikan apa juga disiplin ilmu. Ini bersesuaian dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia yang menekankan nilai-nilai murni merentasi kurikulum.
b) Menjayakan Proses Pendidikan/Tarbiah (Murabbi)

Guru sejati, guru cemerlang dan guru yang baik adalah guru yang menjayakan proses tarbiyah. Proses ini adalah dari mendidik anak-anak tidak tahu membaca kepada boleh membaca sehinggalah menjadi pemimpin negara. Guru Murabbi pula adalah guru segala-galanya. Oleh yang demikian, guru seharusnya sentiasa peka kepada perubahan. Perubahan yang berkaitan dengan profesionnya dan juga perubahan lain yang berlaku di sekelilingnya. Guru murabbi sentiasa berpegang teguh dan memikul tanggungjawab sepenuhnya untuk mengajar dan mendidik serta memberi teladan kepada murid-muridnya. Guru murabbi juga sentiasa faham dengan tugas guru yang mulia. Beliau menjadikan tempat kerja (sekolah) sebagai rumah dan syurganya, yang sentiasa memerangi kejahilan, kebodohan, kelemahan dan kelalaian diri dan murid-muridnya.
b) Memperkembangkan Kemahiran (Mudarris)

Guru-guru berperanan untuk memperkembangkan kemahiran dalaman dan luaran murid-muridnya. Kemahiran dalaman guru menurut Ranjit Singh Malhi dalam tulisannya ‘Success depends on Teachers’ memberi ulasan terhadap Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang merangkumi empat aspek utama iaitu: • Kemahiran sikap peribadi (personal attributes); • Kemahiran penampilan diri (interpersonal); • Kemahiran menyelesaikan masalah; dan • Kemahiran membuat keputusan.

Bagi tujuan kursus ini, kita hanya akan sentuh dua aspek pertama. Kemahiran sikap peribadi melibatkan kemahiran berpegang teguh kepada etika kerja, kemahiran menghormati iaitu menghormati pelanggan dan orang-orang lain serta persekitarannya. Contohnya guru perlu mempunyai kemahiran menghormati murid sebagai pelanggan operasi, seperti tidak mengaitkan apa-apa yang boleh menyentuh perasaan secara negatif seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina mereka. Kemahiran penampilan diri (Interpersonal) pula berkaitan kemahiran seseorang guru dalam menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan. Kemahiran luaran melibatkan kemahiran dalam proses pengajaran dan pembelajaran, dengan lain perkataan kemahiran menggunakan alat-alat yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran atau pedagogi pengajaran. Contohnya, guru seharusnya mempunyai kemahiran menggunakan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai dengan tahap dan kebolehan murid. Proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan sekiranya guru menggunakan peralatan bantu mengajar terkini seperti komputer, alat tayang digital (LCD) dan mahir melayari Internet untuk mendapatkan sumber maklumat dan ilmu terkini selaras dengan misi untuk mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia dan seterusnya mencapai misi nasional.

d) Mendidik Adab dan Budi Pekerti (Mu'addib)

Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, guru berperanan untuk mengembangkan potensi insan yang berakhlak mulia, seimbang dari segi intelektual, rohani, emosi dan jasmani (JERI). Guru mu”addib adalah guru yang mengajarkan adab dan budi pekerti. Dalam hal ini, guru haruslah memastikan yang adab dan budi pekertinya adalah di tahap yang cemerlang. Ini adalah kerana guru merupakan model kepada murid-murid dan masyarakat sekelilingnya. Guru tidak seharusnya umpama ketam mengajar anaknya berjalan betul. Perbuatan ini amat dibenci oleh Allah seperti firmannya “Amat besar kebencian di sisi Allah apabila kamu menyatakan apa-apa yang kamu tidak kerjakan” (surah Ash-Shaff ayat 3).

Guru Mu’addib bukan sahaja perlu mengajar nilai-nilai murni tetapi mesti mengamalkan nilai-nilai murni tersebut. Antara nilai murni yang perlu ada pada seorang guru adalah sifat daya tahan dan tidak mudah menyerah kalah. Sifat yang demikian akan menjadikan guru lebih bermotivasi, kreatif dan inovatif. Guru yang mu’addib akan memandang ke hadapan dan tidak menyerah kalah. Guru seperti ini sentiasa berfikiran “Jika tidak boleh melalui satu pintu, saya akan keluar mengikut pintu lain atau saya buat pintu lain. Sesuatu yang saya mahu akan jadi , sama ada dalam gelap atau dalam terang”. Sikap inilah yang boleh menjadikan martabat guru dijulang tinggi dan terus berusaha tanpa mengira jemu dan putus asa terutama dalam mendidik generasi akan datang.
e) Melahirkan Pemimpin Generasi Akan Datang (Mursyid)

Guru adalah pemimpin, bahkan juga kepada pemimpin yang sedia ada. Di dalam sajak Usman Awang, beliau ada menyatakan, ”jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa, jika hari ini seorang raja menaiki takhta, jika hari ini seorang presiden sebuah negara, sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa”. Tugas membentuk kepimpinan insan merupakan tugas yang berat dan ini adalah peranan dan tugas yang terletak di bahu guru. Dilihat dari sejarah negara kita, ramai pemimpin negara ini asalnya seorang guru dan para pemimpin mendapat didikan daripada guru. Oleh yang demikian, sejarah membuktikan bahawa guru Mursyid adalah pemimpin dan pembentuk kepimpinan insaniah. Kesimpulannya, guru di dalam masyarakat dan negara adalah penyampai ilmu yang benar, pengamal sifat yang luhur, pengembang kemahiran individu, pelaksana proses tarbiah, pemimpin dan pengikut yang setia. Ini bersesuaian dengan slogan “pemimpin yang baik adalah pengikut yang baik”. Dengan lain perkataan, guru adalah perubah zaman sama ada secara langsung atau tidak langsung. Hakikatnya guru membentuk muridnya sejak di peringkat kanak-kanak lagi hingga dewasa; dan setelah dewasa, kanak-kanak ini dapat mengenal erti kehidupan yang sempurna. (sumber: Modul HBME3103: Pendidikan Moral Tahun 4)

iii. Peranan masyarakat di dalam melahirkan insan bermoral.
Selain daripada guru, masyarakat juga mempunyai peranan di dalam membentuk insan bermoral. Ibu bapa sebagai anggota masyarakat mesti memainkan peranan yang serius terhadap pendidikan anak-anak mereka. Pendidikan formal di sekolah hanya lebih kurang 6 jam sehari sahaja dan selebihnya pelajar berada di tangan keluarga dan masyarakat. Anggota masyarakat harus memberi maklumat dan maklum balas kepada sekolah serta memberi kerjasama di dalam pelbagai aktiviti pembinaan ilmu yang dijalankan oleh guru dan sekolah.
Penglibatan anggota masyarakat dalam proses pendidikan juga tidak kurang pentingnya, khususnya institusi seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jawatankuasa masjid dan surau, RELA serta pihak Polis harus sentiasa berdamping dengan sekolah-sekolah dan guru-guru serta mengambil tahu proses pendidikan di sekolah-sekolah di kawasan masing-masing. Mereka perlu dilibatkan bersama untuk memainkan peranan dalam menentukan persekitaran selamat kepada pelajar dan penduduk setempat.

Konsep ‘School-Home-Community Partnership’ perlu diterapkan dengan mengadakan program-program permuafakatan dan perkongsian yanag melibatkan pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang ditubuhkan di semua sekolah kerajaan adalah bertujuan untuk mewujudkan pemuafakatan antara ibu bapa dan guru di sekolah. Pemuafakatan ini dapat membina kesefahaman tentang tanggungjawab bersama dalam usaha meningkatkan mutu pengajaran guru dan pembelajaran murid di sekolah. PIBG juga sebagai pelengkap terhadap fungsi Kementerian Pelajaran dalam menyediakan prasarana, kemudahan dan suasana sekolah yang selesa. PIBG juga berperanan ke arah menjaga kestabilan sistem persekolahan dan perpaduan masyarakat setempat.
Kesimpulan.

Adalah menjadi tanggungjawab bersama antara komuniti guru dan anggota masyarakat dalam membentuk pelajar supaya mempunyai jati diri dan kaya dengan nilai-nilai moral sejajar dengan Falsafah Pendidikan Malaysia iaitu ’Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara’.

No comments:

Post a Comment