SAHSIAH GURU


PENGENALAN
Profesion perguruan atau bekerja sebagai guru adalah antara beberapa jenis pekerjaan yang penting dalam proses pembangunan manusia, masyarakat dan negara. Profesion perguruan merupakan profesion paling utama di dalam proses penyerapan ilmu pengetahuan kepada individu dan masyarakat. Dalam era globalisasi sekarang, peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar. Golongan guru hendaklah memastikan martabat perguruan sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa ke tahap yang lebih tinggi dan dihormati seterusnya dapat merealisasikan Misi Nasional seperti yang digariskan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Guru juga berperanan besar membentuk pelajar menjadi insan yang mempunyai nilai-nilai dan jati diri yang tinggi serta bermoral.

Para pendidik juga berperanan menerapkan nilai kerjasama dan toleransi di kalangan pelajar. Jika kita lihat, orang-orang Islam telah diikat oleh satu peraturan supaya hidup berjiran dan bersahabat dengan mereka. Hak jiran tidak boleh dikurangi dan tidak boleh boleh dilanggar sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam pembentukan negara Islam. Dengan ini, terciptalah satu masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan demi mewujudkan kebahagiaan bersama dalam satu masyarakat dan satu negara. Sikap toleransi yang diterapkan oleh guru dapat membentuk hubungan yang baik dalam masyarakat yang mampu melahirkan integrasi nasional. Prinsip utama seorang guru yang cemerlang adalah ia mesti faham bahawa tugas mengajar dan mendidik serta meneladani adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru yang mengajar anak bangsanya perlu menganggap profesion ini sebagai satu jihad yakni menentang, membasmi dan mencegah kejahilan, kelemahan, kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan dan menjadikannya sebagai suatu ibadah.

ISU SEMASA MENGENAI SAHSIAH GURU

Profesion perguruan amat mulia dipandang. Mereka bertanggungjawab memimpin dan mendidik masyarakat. Tidak dinafikan, sehingga hari ini, guru telah menyumbang khidmat bakti dalam pembanggunan bangsa dan Negara, lebih-lebih lagi dalam membentuk sahsiah pelajar.

Sebelum membentuk sahsiah pelajar, guru terlebih dahulu perlu mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi oleh pelajar. Dalam hal ini, Prof. Mohd Kamal Hasan (1998) menjelaskan, "Contoh teladan guru inilah yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar. Mereka seharusnya terlebih dahulu dilengkapi dengan ciri akhlak mulia, walaupun ada segelintir masyarakat kurang menghargai watak berbudi luhur ini."

Namun, dewasa ini kita kerapkali dikejutkan dengan isu-isu negatif mengenai sahsiah guru. Antaranya ialah isu guru ponteng sekolah, guru rogol pelajar, guru dera pelajar malah baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan berita kematian murid tahun satu meninggal dunia akibat didera oleh warden asrama yang juga seorang guru atas kesalahan mencuri wang. Ia merupakan satu tindakan keterlaluan serta memalukan warga guru yang mengutamakan prosedur dan garis panduan salah laku pelajar di sekolah. Biarpun guru mempunyai objektif dan niat murni untuk mendidik pelajar, pelaksanaan tindakan mesti rasional dan berfokus sahsiah dan selaras konsep Jeri iaitu keseimbangan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual yang ingin diterapkan kepada pelajar.

Zaman guru bengis dan tidak mesra pelajar sudah berlalu. Guru wajar dihormati bukan ditakuti. Pelajar akan berasa dihargai jika guru sering berdamping dan menasihati pelajar nakal. Umpamanya, menyedarkan pelajar bahawa mereka menjadi harapan ibu bapa untuk mengubah nasib sendiri dan keluarga. Mereka belajar pelbagai ilmu dan kemahiran serta nilai di sekolah agar menjadi ahli masyarakat mulia dan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Memang tidak dinafikan salah laku dan disiplin pelajar merunsingkan semua pihak. Apatah lagi kini pelajar terdedah kepada persekitaran dan media yang memerlukan guru cakna dan waras dalam tindakan. Guru harus banyak bersabar dan tabah menghadapi kerenah pelajar dewasa ini. Rasionalnya mereka budak yang nakal, berbuat salah dan silap tetapi manusia yang bernama guru menerima tanggungjawab mendidik, mengajar, mengasuh dan membentuk manusia yang bakal menjadi warganegara berprinsipkan Rukun Negara.

Guru harus menerima risiko diancam pelajar, kenderaan dicalar atau dibocorkan tayar atau paling menyusahkan guru apabila kes mahkamah membabitkan guru. Malah, tindakan tatatertib juga adalah prosedur dan etika dalam perkhidmatan awam menanti guru yang melepas geram ketika bertugas.

Biar apapun bebanan tugas dan disiplin pelajar yang dihadapi, guru mesti berpegang pada nilai murni. Usaha mendidik dan membangunkan nilai manusia tidak semudah membina bangunan. Sekali gus guru disanjung kerana maruah dan disiplin keilmuan. Jangan nila setitik rosak susu sebelanga.

Selain daripada berhadapan dengan isu-isu merogol dan mendera pelajar, dewasa ini, bidang keguruan juga banyak berhadapan dengan symptom-simptom guru yang malas seperti guru kerap ponteng sekolah, guru tidak membuat buku rekod mengajar dan guru lewat masuk ke kelas. Walaupun isu-isu tersebut nampak remeh tetapi jika dibiarkan tanpa pengawasan daripada pihak-pihak bertanggungjawab, lama-kelama profesyen perguruan tidak lagi dipandang mulia oleh masyarakat.

PERKAITAN ISU SAHSIAH GURU DENGAN PENDIDIKAN

Dalam konteks pendidikan, sebagai seorang guru, adalah menjadi tanggungjawab dan tugas kita untuk melahirkan pelajar yang berwawasan serta mempunyai etika dan kemoralan yang tinggi. Setiap guru harus sedar bahawa tugas sebagai seorang guru bukan sekadar hanya mengajar, tapi perlu menganggap diri mereka sebagai teman, fasilitator dan kaunselor kepada pelajar. Sistem hubungan dua hala antara guru dan pelajar bukan sekadar melibatkan masalah akademik tetapi juga masalah peribadi pelajar untuk membolehkan pihak sekolah mengesan gejala yang tidak sihat di peringkat awal sebelum mereka benar-benar terjebak dalam kes polis.

Malah sebagai guru juga harus mempunyai jati diri dan pembentukan sahsiah yang bermoral sebelum mendidikan anak pelajar menjadi seorang yang bermoral dan bersahsiah. Sahsiah adalah perkataan Bahasa Arab yang bermaksud keperibadian atau peribadi. (Kamus Dewan, 2011). Maksud peribadi pula ialah manusia sebagai diri sendiri, sifat-sifat seseorang yang sebati dengan diri sendiri untuk membentuk watak dirinya. Ia juga menggambarkan sifat personalitI unik individu yang membezakan dirinya dengan individu lain (Cloniger,2008). Menurut Siti Fatimah (1993), sahsiah merujuk kepada sistem tingkah laku individu. Ia bererti setiap individu ada cara bertindak yang tersendiri dan cara bertindak itu adalah lebih kurang sama dari sehari ke sehari.

Dalam perspektif Islam, pembangunan sahsiah bukan sahaja dilihat dari aspek jasmani sahaja, tetapi juga merangkumi seluruh aspek rohani, naluri dan akal individu. Menurut Shahabudin dan Rohizan (2007), sahsiah bermaksud akhlak. Akhlak pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu akhlak terpuji dan akhlak tercela. Abdullah Nashih (1994) mendefinisikan pembangunan sahsiah berdasarkan empat unsure dasar iaitu pembinaan akidah (kepercayaan), ibadah (ritual), akhlak (etika dan moral) dan penampilan (mazhar). Keempat-empat unsur dasar ini telah mengaitkan sahsiah dengan aspek kerohanian atau dalaman manusia.

Menurut Imam Al-Ghazali (1989), pembangunan sahsiah merangkumi keseluruhan aspek diri individu iaitu melibatkan pngetahuan agama, akidah, penghayatan Al-Quran, adab kehidupan berkeluarga, mencari rezeki , perhubungan sesama manusia, akhlak, budi pekerti dan pembanguan jiwa serta hati. Namun begitu, Ibn Miskawah mempunyai tarkrifan yang berbeza terhadap pembangunan sahsiah iaitu suatu keadaan (sikap) diri yang mendorong seseorang bertindak melakukan perbuatan serasi dengannya tanpa berfikir panjang.

Pembangunan sahsiah dari perspektif Islam bererti membina akhlak, peribadi dan tingkah laku dengan matlamat menjadikan seseorang itu bertamadun, berintelek, mempuyai nilai murni dan berdaya maju. Pembangunan sahsiah dari perspektif Barat, berdasarkan para pemikir seperti Mark (1818-1883), Weber (1864-1920) dan Maslow (1908-1970) ialah keperluan fizikal dan keperluan psikologi manusia, meningkatkan status kuasa dan agama serta meningkatkan kelas sosial ekonomi yang dianggap sebagai tunjang dalam menentukan pembentukan dan perkembangan struktur sosial masyarakat manusia (Kamarul Azmi.2002).
Is
u berkaitan sahsiah guru memberi kesan kepada dua aspek iaitu aspek diri dan aspek sekolah. Dalam aspek diri guru itu sendiri, yang menyebabkan bertindak secara rasional ataupun sebaliknya. Antara yang ciri-ciri yang mendorong seseorang bertindak ialah dari segi emosinya, tingkah laku yang biasa digunakan untuk bertindak dalam situasi tertentu dan pemikirannya. Apabila guru tersebut tidak menyiapkan Buku Rekod Mengajar, kesan pada dirinya ialah guru tersebut akan memberi pelbagai alasan supaya terlepas daripada menyiapkan tugasan tersebut. Selain daripada itu, dia juga akan terbiasa tidak menghantar Buku Rekod Mengajar untuk ditandatangani oleh Pengetua , Guru Besar atau wakilnya.

Tindakan Guru Besar pada guru tersebut adalah dengan memberi amaran secara lisan.Tindakan Pengetua atau Guru Besar seterusnya, jika didapati guru tersebut tetap tidak membuat Buku Rekod Mengajar ialah dengan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada guru berkaitan. Tidak membuat atau menyiapkan Buku Rekod Mengajar adalah satu kesalahan mengikut P.U.(A) 531 Seksyen 8(1) yang dikenakan penalti RM 500.00. Oleh yang demikian, hukuman ini adalah amat merugikan diri guru tersebut.

Aspek sekolah merupakan apa-apa tindakan yang berkaitan dengan tanggungjawab di sekolah seperti kehadirannya di sekolah , mengajar dan mendidik murid mengikut masa yang ditentukan serta mematuhi segala peraturan dan etika yang digariskan. Guru yang tidak membuat Buku Rekod Mengajar bukan sahaja telah melanggar etika Profesion Perguruan, tetapi juga tidak dapat mengajar dan mendidik muridnya mengikut masa dan jadual yang ditentukan. Ini akan memberi kesan yang buruk kepada murid-murid yang memerlukan khidmat bakti guru terbabit. Proses pengajaran dan pembelajaran tidak akan dapat berjalan dengan baik, murid-murid pula akan mendapat akibat daripada perbuatan guru tersebut.

Selain daripada kesan yang akan diterima oleh anak-anak didik mereka, prestasi sekolah juga akan turut terjejas. Peratus kelulusan mengikut subjek yang diajar oleh guru berkaitan akan menunjukkan kemerosotan berikutan masalah yang dihadapi dan prestasi sekolah akan menurun. Ini akan merugikan murid-murid, sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan guru itu sendiri.

Murid-murid dan rakan-rakan sejawat dalam Profesion Perguruan juga akan mula menjauhkan diri , jika masalah tersebut semakin teruk guru berkaitan akan semakin tertekan dan tidak dinafikan dia akan melakukan perkara-perkara yang lebih buruk lagi. Hal ini akan menyebabkan keadaan tidak akan terkawal, kecuali dengan memberi perkhidmatan kaunseling kepada guru terbabit.

Sudah jelas dinyatakan di atas, dalam pembentukan sahsiah, nilai-nilai integriti amat penting di tanam dalam jiwa guru-guru. Integriti juga adalah suatu kualiti yang dimiliki secara konsisten bagi mendorong prinsip moral tinggi atau tahap profesionalisma. Ianya merupakan satu kesatuan yang tidak boleh dipisahkan, yang sempurna dan tidak boleh dirosakkan. Secara ringkasnya, ia adalah suatu pemilikan kualiti yang konsisten.

Contoh aspek guru yang berkesan hendaklah mempunyai nilai integriti dalam diri mereka. Ini adalah kerana di dalam nilai integriti terkandung empat petunjuk di dalam nilai integriti iaitu adil, amanah, akauntabiliti dan telus. Guru perlu bersikap adil dalam pengajarannya di sekolah, seperti masuk ke kelas tepat pada waktunya, keluar kelas mengikut masa yang ditetapkan, tidak sepatutnya guru mengamalkan sikap ‘curi tulang’ dan memberi ilmu pengetahuan kepada murid tidak berdasarkan kepada rupa paras , tahap kepandaian, latar belakang keluarga murid dan sebagainya. Guru juga perlu adil dalam memberi hukuman atau tugasan kepada murid.

Petunjuk yang kedua ialah amanah, guru sudah semestinya perlu mempunyai sifat amanah dalam dalam mendidik murid-murid untuk menjadi insan yang berakhlak mulia dan berdisiplin. Guru hendaklah menyampaikan maklumat yang benar, fakta yang jelas dan mengajar murid bercakap benar. Ini adalah kerana guru menjadi ‘role model’ kepada anak didiknya, segala ilmu yang disampaikan haruslah benar dan mengikut sukatan pelajaran yang telah ditentukan.

Guru perlu mendidik murid-muridnya supaya menjawab soalan dengan amanah dan berhati-hati ketika menduduki kertas peperiksaan, tanpa boleh meniru jawapan orang lain atau mengambil sumber maklumat daripada bahan-bahan bacaan yang tidak dibenarkan. Ini akan dapat membiasakan mereka melakukan sesuatu tanpa bantuan orang lain. Petunjuk yang ketiga ialah Akauntabiliti, Mengikut Kamus Dwibahasa , perkataan ‘akauntabiliti’ di huraikan sebagai bertangungjawab kepada seseorang atau bertangugjawab terhadap sesuatu. Menurut Tan Sri Ahmad Sarji , konsep akauntabiliti adalah satu obligasi untuk memberikan jawapan dan penjelasan mengenai sesuatu tindakan dan prestasi kepada mereka yang berhak untuk mendapat jawapan dan penjelasan tersebut . Akauntabiliti juga adalah mengenai displin dan keperluan untuk memberikan justifikasi dan menerima keberrtangungjawaban terhadap sesuatu keputusan yang telah diambil.

(KamusDwibahasa) Akauntabiliti bermakna tanggungjawab yang harus difahami dan dilaksanakan oleh seseorang guru. Akauntabiliti keguruan juga membawa maksud berkenaan dengan tanggungjawab guru terhadap profesionalisme keguruan. Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru yang dimaksudkan di atas merangkumi akautabiliti guru terhadap pelajar , diri guru itu sendiri, sekolah, masyarakat dan negara , dan profesion keguruan amnya. Ia juga bermaksud perlu melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh pengetua atau guru besar mengikut masa yang telah ditetapkan. Contohnya program yang perlu dijalankan adalah selama sebulan, guru perlu menyediakan kertas cadangan, merancang aktiviti bersama Jawatankuasa yang dilantik, menjalankan mesyuarat bersama guru besar atau pengetua membuat perbincangan dan seterusnya memastikan program yang telah dirancang dapat dijalankan mengikut jadual yang telah disusun.

Jika sesuatu program tidak dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya mengikut perancangan, guru tidak boleh menyalahkan pihak lain atas perkara yang berlaku, kerana setiap permasalahan yang melanda pasti ada sebab musababnya. Oleh yang demikian, seharusnya sebagai seorang guru perlu ada sikap akauntabiliti. Kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada rahmat di sebaliknya.

Guru perlu muhasabah diri sendiri dan cuba memperbetulkan kesilapan diri sendiri. Seorang guru haruslah menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi di bilik darjah termasuk mematuhi masa dalam jadual waktu serta melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mengikut kaedah dan teknik yang berkesan. Guru juga haruslah mengutamakan kemajuan, kebajikan dan keselamatan murid-murid berbanding hal-hal lain. Seorang guru yang bertanggungjawab haruslah bersikap adil terhadap pelajar-pelajarnya tanpa mengira bangsa, agama, faktor jasmani, emosi, mental, politik, sosial dan perkara-perkara lain.

Guru hendaklah membimbing dan mengajar murid-murid di bilik darjah tanpa meminta sebarang bayaran atau hadiah daripada mereka, sebaliknya guru sekali-sekala perlu memberi hadiah kepada murid-muridnya untuk menggalakkan mereka berminat terhadap proses pembelajaran. Memberi contoh teladan yang baik dengan berpakaian kemas, berbudi bahasa dan bersopan santun semasa bertugas harus juga di amalkan supaya murid memperolehi model yang baik. Ini adalah kerana seorang guru merupakan orang yang di hormati oleh pelajarnya, oleh yang demikian perlulah guru menjaga profesionalisme guru supaya mereka tidak dibenci,di pandang serong dan tidak dihormati lagi oleh anak muridnya.

Seorang guru haruslah menjaga kebersihan dan kesihatan dirinya agar dapat menjalankan tugas sebagai pendidik dengan sempurna. Emosi hendaklah di kawal oleh guru sendiri dan juga perlu menghindarkan diri dari sebarang ketegangan jiwa yang boleh mengganggu tugasnya. Sebagai seorang guru, guru hendaklah bijak menguruskan kewangan dengan bijaksana dan mengimbangi pendapatan dengan perbelanjaan. Ini adalah kerana jika guru gagal menguruskan kewangan maka guru akan menghadapi masalah luaran yang boleh menjejaskan tumpuannya terhadap proses pengajaran di sekolah.

Guru digalakkan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. dan peka terhadap peristiwa di sekeliling melalui media massa atau elektronik supaya mudah memberikan imput yang berguna terhadap profesionnya. Guru juga boleh melibatkan diri dalam sesuatu hobi dan aktiviti berfaedah di masa lapang yang boleh menjadikan guru itu sihat dari segi mental dan fizikal.

Petunjuk yang terakhir ialah telus iaitu menjalankan tanggungjawab sebagai guru dengan telus, menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut apa yang telah diamanahkan. Sekolah ialah tempat seseorang guru bertugas. Oleh itu , guru juga bertangungjawab terhadap tugas yang di amanahkan oleh pentadbiran sekolah. Sebagai seorang ahli dalam sebuah sekolah ,guru mempunyai sifat telus terhadap perkembangan dan kemajuan sekolah. Dalam hal ini, selain tugas mengajar , guru juga hendaklah menjalankan tugas-tugas yang lain seperti sebagai guru displin, kaunselor, setiusaha peperiksaan, setiausaha PIBG, panitia mata pelajaran dan jawatan-jawatan lain yang di lantik oleh pihak pentadbiran sekolah.

PENUTUP

Harus diingat bahawa, pelakuan seharian kita sebagai seorang guru sentiasa diperhatikan dan seringkali ditiru oleh pelajar. Seorang guru harus menunjukkan contoh yang terbaik supaya kita menjadi role model kepada setiap pelajar kita. Jadi, sebagai seorang guru, kita seharusnya memperbetulkan dan merperindahkan dulu budi pekerti dan kemoralan diri kita sebelum menasihat atau menegur pelajar supaya pelajar menyanjung dan memartabatkan kita sebagai role model terbaik untuk dirinya. Zaman telah berubah, peningkatan intelek, akademik, persekitaran dan arus kemodenan telah banyak mengubah masyarakat moden kini yang lebih berpendidikan tinggi dan berpengetahuan luas. Oleh yang demikian guru-guru perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk bersama-sama berganding bahu dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri kita dalam membuat transformasi sepertimana tema Hari Guru pada tahun 2011.

Setiap tahun para warga pendidik akan menyambut Sambutan Hari Guru pada 16 Mei. Pada tahun ini walaupun Hari Guru akan disambut lebih dalm tempoh 2 bulan lagi, temanya dahpun diketahui iaitu Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara. Jika dilihat pada tema ini secara halus, maka nampak dengan jelas bahawa tugas guru semakin mencabar. Kerana sebagai penjana transformasi (perubahan) pendidikan negara, para pendidik perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan. Dalam erti kata lain, apa sahaja perancangan yang telah dirancang oleh kerajaan sebagai pembuat dasar perlu dilaksanakan dengan sebegitu sempurna agar apa yang tersirat dalam tema Hari Guru pada tahun ini dapat dicapai.

2 comments: