TEORI KEPERIBADIAN MULIA

PENGENALAN
“Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga” ‘Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa”
Budi mempunyai pengertian falsafah yang tersendiri iaitu kebaikan, manakala dari sudut epistemologi, budi disingkap daripada perkataan Sanskrit yang bermaksud asas hikmah. Budi mengandungi rangkaian yang bersiratan iaitu akal budi, hati budi, budi bicara, budi bahasa dan budi pekerti. Keseluruhan rumpun budi dapat dikesan di dalam konteks kehadiran dan kewujudan manusia serta masyarakat dan budaya. Gugusan budi meliputi hubungan sosio-budaya dan spiritual.

Menurut kamus dewan, budi membawa maksud sifat dan perlakuan yang baik serta akhlak dan tingkah laku yang terpuji. Manakala budi bahasa pula membawa definisi kepada 'tuturkata, kelakuan, sopan santun, tatatertib, akal, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata akhlak mulia'. Maksudnya setiap gerak laku, tuturkata, tatahidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain sebagai peribadi mahupun pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi bahasa. Konsep-konsep lain yang berkaitan dan melengkapkan nilai budi bahasa termasuklah mulia, adil, hormat, bijaksana, berani, setia, malu, sabar, sopan dan lain-lain.

Y.A.B Perdana Menteri semasa pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni pada 11Januari 2005, di Istana Budaya, Kuala Lumpur telah menyarankan agar bangsa Malaysia yang maju seperti dicita-citakan menjelang tahun 2020 dapat mempamerkan Kecemerlangan, Kegemilangan dan Keterbilangan berasaskan pekerti mulia, berbudaya tinggi dan berbahasa baik. Ini akan lebih bermakna jika kita dapat menaikkan nama Malaysia di mata dunia.

Budi bahasa dan amalan-amalan murni tidak boleh bercambah dengan hanya membiarkan keadaan yang sedia ada. Rakyat dan kerajaan mesti berjuang bersama mewujudkan masyarakat yang berhemah dan berbudi agar tamadun kita tidak hilang mutu dan keindahan sosialnya. Untuk itu kita perlu ingat-mengingatkan akan amalan murni yang sudah hilang itu.

Sejajar dengan kempen “Budi Bahasa Budaya Kita”, ia merupakan satu amalan yang bertujuan untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang bermoral, beretika dan keperibadian mulia. Teori Keperibadian Mulia atau virtue menitikberatkan perwatakan manusia dari segi falsafah moral. Etika keperibadian mulia mengambil berat tentang budi pekerti manusia yang berasaskan kepada keunggulan dan ianya dinyatakan sebagai etika virtues dalam penulisan Aristotle (384-322 s.m). Bagi Aristotle, “virtues atau keperibadian mulia adalah sekumpulan konsep seperti keadilan, kemurahan hati, keberanian, kejujuran, kesabaran dan kebijaksanaan yang memainkan peranan penting dalam kehidupan bermoral masa kini.

Menurut Aristotle, terdapat dua jenis keperibadian mulia iaitu yang bersifat intelektual dan yang bersifat moral. Keperibadian mulia intelektual dikaitkan dengan kecemerlangan minda untuk memahami, menaakul dan membuat penilaian dengan baik. Manakala keperibadian mulia yang bersifat moral menekankan kepada tuntutan berkelakuan baik dengan menjalankan proses pengulangan dan pelaziman. Sebagai contoh, seorang insan yang mengamalkan sifat jujur akan cenderung menjadi insan yang jujur dalam hidupnya. Justeru, Aristotle menjelaskan bahawa keperibadian mulia adalah suatu kecenderungan untuk melakunya dengan sesuatu tujuan. Bagi beliau lagi, keperibadian mulia ini tidak dihasilkan secara semulajadi kerana sesorang individu itu tidak dikudratkan dengan sifat mulia atau jahat. Cara yang terbaik untuk memperolehi keperibadian mulia ialah melalui latihan dan mengamalkannya sehingga menjadi kebiasaan dan menyenangkan diri sendiri.

Beberapa ciri-ciri dalam keperibadian mulia telah dikenalpasti. Antara ciri-ciri keperibadian mulia ialah:-
1. Semua keperibadian mulia diperolehi oleh seseorang melalui pengajaran dan pembelajaran atau latihan serta dijadikan amalan kehidupan seharian. Contohnya, seorang anak yang diberikan didikan tentang adab memberi salam dan menghormati orang tua, mereka akan sentiasa mengamalkan budaya dan sikap positif itu dalam kehidupan seharian mereka sehingga dewasa.

2. Keperibadian mulia adalah tabiat yang membawa maksud mereka adalah kelakuan biasa yang ditetapkan dan ditonjolkan. Apabila tabiat dibentuk, sesuatu kecenderungan yang stabil wujud dalam individu dan ia boleh dipanggil “sifat”orang itu. Oleh itu, apa yang ditunjukkan oleh tabiat bukan satu kebetulan atau ketidaklaziman, tetapi adalah satu penjelasan tentang jenis manusia bagi seseorang individu.

3. Keperibadian mulia adalah sesuatu yang boleh diguna pakai. Ia membolehkan kita menetapkan bagaimana untuk berkelakuan dan bertindak dalam cara tertentu . Operasi ini boleh berlaku secara dalaman seperti aktiviti pemikiran tentang satu masalah matematik,atau secara luaran seperti kita memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan.

4. Keperibadian mulia adalah baik,ia berbeza dengan tabiat buruk dan perangai buruk atau jahat. Keperibadian mulia adalah sempurna,dan membenarkan kita bertindak dalam cara yang terbaik. Dengan perolehan keperibadian mulia,kita dapat membentuk kendiri insan yang baik, manakala perangai buruk atau jahat mempunyai kesan yang berlawanan, ia adalah “destructive” dalam kapasiti kita.
Kritikan terhadap Teori Keperibadian Mulia

i.Kebaikan
Terdapat beberapa kritikan terhadap teori ini. Antara kebaikan teori ini ialah ianya mewujudkan insan yang mempunyai sifat-sifat baik dan terpuji seperti kejujuran, baik hati, amanah dan sifat-sifat terpuji yang lain. Teori Virtue Aristotle yang menyatakan keperibadian mulia yang mewujudkan insan seperti ini adalah hasil daripada pemerhatian dan pergaulan antara mereka yang mempunyai sifat-sifat mulia.

Wallace (1978) berpendapat bahawa keperibadian mulia memainkan pelbagai peranan yang tidak boleh diketepikan untuk kesejahteraan hidup manusia. Manakala Philip Foot (1978) pula menyatakan bahawa manusia tidak boleh hidup dengan baik tanpa keberanian,kesederhanaan dan kebijaksanaan kerana masyarakat tidak ada keadilan. Kebaikan seterusnya ialah teori ini dapat menyatukan taakulan dan emosi serta mengelakan berlakunya gejala sosial yang tidak sihat. Contohnya seseorang itu hanya akan meniru dan mencontohi sesuatu tingkah laku yang apabila difikirkan akan mendatangkan kesan baik kepada dirinya. Sebelum meniru dan mengaplikasikan sesuatu tingkah laku, beliau akan memikirkan kesan baik dan buruknya terlebih dahulu. Walaupun individu tersebut mudah dan boleh dipengaruhi oleh sosial masyarakat, perkembangan ekonomi dan rakan sebaya, namun ketaakulan akan menyebabkan individu itu menilai dengan cara pemerhatian dan pergaulan dengan mereka yang mempunyai sifat-sifat mulia dan budi pekerti yang baik.

ii. Kelemahan

Teori ini mendapat kritikan kerana kurang pasti sama ada sifat-sifat mulia wujud secara semulajadi atau diperolehi melalui pengamalan dan pengalaman. Teori Virtue Aristotle yang menyatakan keperibadian mulia bukan sesuatu yang natural itu telah mendapat tentangan daripada golongan yang percaya kepada Tuhan. Mereka percaya bahawa insan seperti nabi dan rasul memiliki keperibadian mulia secara semulajadi kerana dianugerahkan Ilahi kepada mereka. Keperibadian mulia seseorang itu tidak semestinya melalui kecenderungan atau latihan kerana manusia mempunyai sifat naluri ingin tahu dan sifat meniru. Oleh itu, peribadi individu ini boleh dipengaruhi oleh social masyarakat, perkembangan ekonomi dan rakan sebayanya. Jelasnya, keperibadian mulia boleh diperolehi dengan memerhati dan bergaul rapat dengan mereka yang mempunyai sifat-sifat mulia dan berbudi pekerti yang baik.

Selain daripada itu, kelemahan teori ini juga ialah kita tidak dapat mengetahui dengan lebih jelas siapakah yang sebenarnya mempunyai keperibadian mulia. Barnes (1979) pula mengkritik doktrin “jalan tengah” Aristotle kerana doktrin itu tidak mempunyai tenaga nasihat atau kekuatan untuk membuat sesuatu. Nasihat ‘bertindak mengikut jalan tengah atau bertindak sederhana sama maksudnya ‘bertindak seperti mana kamu patut bertindak’. Bimbingan dan nasihat ‘jalan tengah’ ini tidak memberi nasihat dan maklumat tentang kemungkinan atau cara yang dikatakan patut, sederhana atau baik apabila menghadapi desakan situasi moral. Ini menjadikan seseorang itu kabur dan ragu-ragu apabila membuat sesuatu keputusan.

Kesimpulan

Etika keperibadian mulia secara keseluruhan adalah penting untuk memajukan kebajikan masyarakat dan menjaga kepentingan orang lain. Individu yang mempunyai keperibadian mulia akan mendapat kepercayaan dan penghormatan sosial yang tinggi. Frankena (1973) ini telah mencadangkan sifat mulia dapat dikenalpasti melalui sifat mulia keadilan dan sifat mulia kemurahan hati seseorang individu. Etika mestilah melibatkan keperibadian mulia dan kemoralan pula seharusnya mempunyai kecenderungan, sikap, sifat dan cirri-ciri watak yang cemerlang serta murni. Kemoralan dan kemuliaan ini akan diterima oleh masyarakat yang bertamadun dan mempunyai keperimanusiaan. Walaupun terdapat beberapa pendapat yang mengkritik, teori ini adalah berguna secara umumnya kerana ia menyarankan manusia supaya menyatukan taakulan dan emosi serta mengelakkan berlakunya gejala tidak sihat,sekaligus dapat menjamin kebahagiaan diri ,keluarga,masyarakat dan negara.

2 comments: